Sunday, November 2, 2008

Perjalanan sebuah pemikiran

Berfikir adalah satu kunci kebahagian hidup.Malas berfikir menjadikan kita dungu,lembap,statik dan jumud.Betapa perlunya melatuih diri berfikir walau sekecil perkara supaya minda kita terlatih dan dinamik.Orang yang berfikir akan mempunyai kebijaksanaan dalam menilai sesuatu.Apa lagi orang itu sememangnya berilmu.Kerap berfikir menjadikan pisau ilmu itu semakin tajam dan bisa menjadikan orang itu seperti belacan yang memberi rasa pada sambal masyarakat.Kehadirannya memberi makna pada kehidupan sebuah masyarakat.Kehadirannya mengubah dinamika sesuatu organisasi.

Alangkah ruginya mereka yang sedang belajar itu malas dalam berfikir.Ibarat proses pengaratan pada sebuah besi yang teguh sehingga ia menjadi rapuh dan hancur berkecai.Alangkah bagusnya jika dari kecil lagi dilatih untuk berfikir dan dengan bertambahnya ilmu dan pengalaman akan memberikan faedah yang cukup berharga pada semua.

Itu semua kebagusan orang berfikir.Hakikat aku adalah berbeza.Aku merasakan bertahun-tahun masa ini terbuang akibat malas berfikir.Ternyata malas berfikir menjadikan aku statik, tidak dinamik dan sukar keluar dari sempadan diri yang selalu menghalang kemajuan.adakah perjalanan pemikiran yang tiada penghujungnya ini telah bermula?

Ya, ia telah bermula tanpa ku ketahui permulaannya.Esok mungkin permulaan baru pemikiran akan aku temui.aku sangat mengharapkan pembaharuan.Dan pembaharuan adalah proses yang hakikatnya sentias berlaku samaada semakin baik atau semakin buruk.

Aku memulakan perjalanan ini bukan apa.Aku sudah bosan dengan kebobrokan diri.Aku juga bosan melihat kebobrokan umat Islam di sekelilingku.Pada aku kebanyakan dari kita masih lembap, individualistik dan selalu menyebut perkara-perkara retorik.Bukan sahaja aku tujukan pada orang lain.Tetapi juga pada diriku ini yang selama ini jumud.

Sikap pemalas,takut memberi pendapat,kurang keyakinan diri,kurang minat berbincang itu telah lama tersemai dalam jiwaku dan jiwa masyarakat kita.Aku sedar hakikat perubahan ini perlu aku mulakan.Perlu aku jalankan dengan kesungguhan dalam diri ini.Aku sedar, mungkin sukar untuk mengubah masyarakat tapi bukankah aku boleh berubah?

Untuk membentuk dinamika dalam pemikiran,aku perlu banyak belajar.Harus ku teliti dahulu tujuannya dan mesti dipastikan konsistensinya.Sikap hangat-hangat tahi ayam ini selalu berlaku dalam diri kita.Justeru objektif yang jelas dalam pemikiran dan disertai dengan kesungguhan untuk berubah yang tinggi amat diperlukan dalam usaha ini.

Praktikal terhadap buah fikiran adalah pelengkap dalam sebuah tradisi pemikiran.Aku sedar selama ini aku banyak berjaji pada diri,berjanji pada Tuhan namun sikap memungkiri janji itu sudah terbiasa.Selalu separuh jalan dalam perubahan.Kali ini aku bertekad untuk tidak membiarkan itu belaku lagi.Biarpun tekad untuk melakukan perubahan ini adalah kali yang ke 1000,aku tidak perlu dihantui oleh kegagalan ke 999.Yang berlalu harus kuambil sebagai pengajaran.Kegagalan mengambil pengajaran adalah disebabkan sikap kita yang malas berfikir dan itu satu kerugian besar.

Hakikatnya,perjalanan sebuah pemikiran itu panjang dan semakin mengasyikkan bila bertemu hakikat yang baru dan segar tentang kehidupan kita dan masyarakat.Aku perlu belajar,belajar dan terus belajar kerana aku tahu ilmu itu luas.Aku perlu sedar,bukanlah pujian dan sanjungan makhluk yang kita dambakan.Tapi aku perlu mencari redha Allah yang tidak diketahui bila saat dan ketikanya.Aku hanya mampu berharap agar Allah meredhai kehidupanku dan aku juga takut hidup aku ini tidak diredhai-Nya.

1 comment:

Anonymous said...

perasaan untuk berubah memang baik dan tak ramai makhluk di muka bumi ini yang ada perasaan tu namun keazaman yang kuat di perlukan dan sahabat sekeliling amat penting... jangan disebabkan rasa berat nak berubah dan takde sokongan x jadi berubah..mulakan dengan setapak, selangkah demi selangkah akhirnya akan berlari laju akhirnya